Wednesday, January 14, 2009

UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG BERSAMA ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2009

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN LIM GUAN ENG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BERSAMA KAKITANGAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2009

PADA 14 JANUARI, 2008 (RABU)
DI DEWAN TUNKU GEODESIC, KOMTAR

Terima kasih saudara Pengacara Majlis.

Y.B. Tuan Mohamad Fairus bin Khairuddin,
Timbalan Ketua Menteri 1;

Y.B. Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy,
Timbalan Ketua Menteri 2;

Y.B. Dato’ Jamaludin bin Hasan,
Setiausaha Kerajaan Negeri;

Y.B.-Y.B. Exco Kerajaan Negeri;

Y.B. Dato’ Supiah binti Md Yusoff,
Pegawai Kewangan Negeri;

Y.B. Puan Faiza binti Zulkifli,
Penasihat Undang-Undang Negeri;

Ketua-Ketua Jabatan, Rakan Media dan hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini sempena Majlis Perhimpunan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Tahun 2009. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kerana dapat menghadiri majlis tahunan Kerajaan Negeri yang serba ringkas ini. Majlis sebegini adalah satu platform yang baik di antara kami; barisan pemimpin dengan anda semua; warga perkhidmatan awam Negeri Pulau Pinang untuk memperbaharui azam dan tekad mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Kini hampir genap setahun Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Suka untuk saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan barisan Exco Kerajaan Negeri agar anda semua kenal lebih rapat.

1) Y.B. Tuan Mohamad Fairus bin Khairuddin,TKM 1;
2) Y.B. Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, TKM2;
3) Y.B. Chow Kon Yeow;
4) Y.B. Lim Hock Seng;
5) Y.B. Danny Law Heng Kiang;
6) Y.B. Phee Boon Poh;
7) Y.B. Wong Hon Wai;
8) Y.B. Abdul Malik Kassim;
9) Y.B. Law Choo Kiang;
10) Y.B. Ong Kok Fooi;
11) Y.B. Dato’ Jamaludin bin Hasan;
12) Y.B. Dato’ Supiah binti Md Yusoff;
13) Y.B. Puan Faiza binti Zulkifli

Inilah wajah-wajah Exco kita yang akan membantu saya dalam memastikan Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang sentiasa berada di hadapan dari segenap segi.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Menyingkap prestasi keseluruhan Peruntukan Pembangunan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008, kita dapat lihat bahawa perbelanjaan pembangunan adalah RM151,943,975.11 atau 93.49% daripada peruntukan yang diluluskan iaitu sebanyak RM162,527,330. Berikutan tahun 2009 merupakan tahun yang mencabar bagi Negeri Pulau Pinang kerana dijangkakan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan disebabkan ketidaktentuan ekonomi global kini. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM186,039,050 untuk Projek Pembangunan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2009. Adalah menjadi harapan saya agar Jabatan-jabatan yang terlibat bertanggungjawab bagi memastikan peruntukan tahun 2009 yang telah diluluskan dibelanjakan secara berhemat dan telus tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan yang diberi kepada rakyat keseluruhannya.

Bagi tahun 2008 juga, dengan bilangan penjawat awam seramai 3,994 orang di peringkat Jabatan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM102,302,866.08 bagi perbelanjaan mengurus keseluruhan atau RM25,614.14 bagi per kapita. Ini berbeza dengan perbelanjaan mengurus pada tahun 1990 di mana dengan seramai 3,723 orang penjawat awam, jumlah perbelanjaan mengurus per kapita adalah RM9,082.15 atau jumlah keseluruhannya sebanyak RM33,812,827.55.

Daripada statistik yang diberikan oleh Jabatan Kewangan Negeri, kita dapat lihat terdapatnya peningkatan perbelanjaan mengurus dari tahun ke tahun. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua kakitangan awam memberi perhatian terhadap pengurusan kewangan. Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa yang gagal menjalankan pengurusan kewangan yang baik, gagal melaksanakan kawalan atau pemantauan yang berkesan, tidak telus, menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa. Kerajaan Negeri mahu setiap kakitangannya melaksanakan perbelanjaan secara berhemat apatah lagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Ini bersesuaian dengan strategi pengurusan urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang diwawarkan oleh Kerajaan Negeri.

Menyedari akan ketidaktentuan ekonomi global yang juga akan memberikan kesan negatif kepada Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif memperkenalkan polisi ”Go Malaysian First” iaitu menggalakkan semua sektor menggaji pekerja tempatan daripada pekerja asing. Ini bagi mempertahankan hak rakyat Pulau Pinang dalam memastikan pekerjaan mereka terjamin. Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada kontraktor-kontraktornya agar menggaji pekerja tempatan bukannya pekerja asing melainkan pekerjaan tersebut tidak mendapat sambutan daripada rakyat tempatan. Sekiranya, Kerajaan Negeri mendapati adanya pihak-pihak tertentu yang mengingkari arahan ini, kontraktor terbabit akan disenaraihitamkan. Ini selaras dengan strategi Kerajaan Negeri sendiri iaitu ”pro-job” dalam mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan Negeri ini.

Bukan itu sahaja, dalam Kerajaan Negeri berdepan dengan krisis kemelesetan ekonomi ini, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Suruhanjaya Pekerjaan yang akan diketuai oleh Dato’ Lee Kah Choon dalam memantau masalah pemberhentian pekerja. Justeru itu, dalam menghadapi kesan kemelesetan ekonomi ini, kerjasama sepasukan antara semua anggota jabatan atau agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor awam dan swasta amatlah perlu bagi menjamin kestabilan sosio-ekonomi Negeri Pulau Pinang.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati.

Perpaduan bukanlah satu slogan kosong. Pada saya, perpaduan bererti kita ketepikan sentimen perkauman, keagamaan dan kenegerian bagi membolehkan kita memberi lebih tumpuan kepada usaha berkhidmat demi rakyat. Perpaduan di kalangan penjawat awam Negeri perlu terus diperkukuhkan bagi mengelakkan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab memporak-perandakan kestabilan Kerajaan Negeri.

Ini kerana saya mendapat tahu bahawa adanya pihak tertentu di kalangan penjawat awam Negeri menggunakan kaedah berbisik tetapi berbisa dalam mengapi-apikan sentimen berbaur perkauman. Misalnya, Kerajaan yang baru ini adalah Kerajaan Cina dan akan membantu kaum Cina sahaja. Ini sama sekali tidak benar dan merupakan fitnah terbesar. Ingin saya tegaskan di sini bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat ini akan memberikan bantuan kepada rakyatnya dan penghargaan kepada kakitangannya tanpa adanya diskrimasi kaum, agama, jantina, warna kulit atau fahaman politik. Ini dapat dilihat dengan usaha kita memberikan pengiktirafan dan sumbangan kepada para huffaz, memberi rebat air RM100 kepada golongan miskin serta usaha menghapuskan miskin tegar yang tidak pernah dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Bukan itu sahaja, kita juga tidak akan berkrompomi dengan mana-mana kaum sekiranya didapati individu atau organisasinya melanggar peraturan atau dasar yang ditetapkan Kerajaan Negeri. Misalnya, kita membatalkan projek PGCC yang mana pemajunya adalah berbangsa Cina kerana projek tersebut melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Oleh yang demikian, daripada membiarkan hal ini menular dan sekaligus merosakkan urustadbir Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri akan terus mendekati para penjawat awamnya serta memperhebatkan kempen-kempen yang boleh mengikis perasaan perkauman.

Mahu tidak mahu, sokong tidak sokong , sebagai penjawat awam Negeri, anda semua perlulah berkhidmat dengan Cekap, Akauntabiliti dan Telus dalam melaksanakan urustadbir Kerajaan Negeri. Ini kerana seorang penjawat awam yang baik akan memberikan khidmat yang terbaik demi kepentingan orang ramai bukannya kepentingan politik. Hal ini turut dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hj Hassan iaitu:-
"Dalam apa jua keadaan, anggota perkhidmatan awam perlu bertindak dengan adil dan saksama serta dengan penuh integriti untuk kepentingan orang ramai.”
Oleh itu, dengan bermulanya tahun baru, Kerajaan Negeri baru akan memberikan nafas dan harapan baru kepada para penjawat awamnya. Kerajaan Negeri tidak mahu kakitangannya taksub kepada pemimpin tetapi taat kepada keadilan daan kebenaran. Saya yakin sekiranya kita tanamkan semangat Bangsa Malaysia dengan berpayungkan prinsip 5K iaitu Keadilan, Kebebasan, Kebenaran, Kedaulatan Undang-undang dan Perlembagaan serta Ketakwaan Kepada Tuhan di dalam jiwa kita, kita akan dapat mewujudkan sebuah Kerajaan yang bersatu-padu, demokrasi, berjiwa rakyat dan beretika.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Berdasarkan data IMD World Competitiveness Yearbook 2008 yang diterbitkan dalam akhbar The Star tahun lalu, telah menunjukkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang kompetitif iaitu pada tangga ke 19 berbanding dengan kedudukan 23 pada tahun 2007. Tahap kompetitif Negara bukan sahaja dapat dipertingkatkan malah masih terus berada di hadapan Negara Jepun (tempat ke 22), Thailand (27) dan Korea (31). Tahap kompetitif ini diukur dari segi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan serta kemudahan infrastuktur.

Menyedari akan hal ini, saya menyeru agar penjawat awam Negeri juga memastikan tahap kompetitif Kerajaan Negeri terus cemerlang dengan menyediakan sistem penyampaian Kerajaan Negeri kepada pelanggannya dengan lebih cekap. Kerajaan Negeri akan memastikan usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan sistem penyampaian Kerajaan Negeri dilaksanakan secara berterusan dan konsisten bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi keperluan pelanggan.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama memberikan komitmen dan membulatkan tekad dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan Cekap, Akauntabiliti dan Telus anggota perkhidmatan serta berusaha merealisasikan visi Kerajaan Negeri untuk menggerakkan transformasi menjadi sebuah Negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi lokasi pillihan para pelabur, destinasi pilihan para pelancong dan habitat pilihan penghuni yang inginkan kehidupan mapan. Saya percaya, sebuah Kerajaan hanya akan menjadi baik seperti rakyatnya. Kepercayaan terhadap tenaga, kepakaran dan keusahawanan rakyatnya akan membolehkan Negeri Pulau Pinang berdepan dengan tahun 2009 yang mencabar ini. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009, Selamat Hari Pongal dan Selamat Tahun Baru Cina kepada anda semua.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

gaffer

gaffer
the best manger in the world wit the best player in the universe